Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM selamat jalani pembedahan
18/01/2026

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan (Right Total Knee Replacement) di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta ahli-ahli kerabat diraja di JPMC dijunjung oleh Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri.

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu Pengumuman Khas telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan disampaikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Dalam Pengumuman Khas berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, telah selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa, berikutan dengan prosedur pembedahan berkenaan, Kebawah DYMM berada dalam keadaan kesihatan yang stabil dan baik. Pada masa ini, baginda sedang bersemayam beristirahat di bawah pemantauan pasukan perubatan. Seterusnya, adalah fasa pemulihan termasuklah sesi fisioterapi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II selanjutnya memaklumkan bahawa sepanjang tempoh fasa pemulihan Kebawah DYMM, baginda akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi dalam tempoh berkenaan dan keberangkatan baginda dalam majlis-majlis kenegaraan dan rasmi adalah tertakluk kepada keadaan baginda dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga menyatakan bahawa sambutan orang ramai, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya di dalam dan luar negara dalam acara - acara keagamaan termasuk Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas yang telah diadakan di seluruh negara sangatlah bermakna dalam sama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala untuk mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan kepada raja yang dikasihi.

Pengumuman Khas berkenaan ditutup dengan bacaan Doa Khas oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah DYMM.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto